DURAKOVIC  dijulang pemain Selangor selepas  menjuarai Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam.
DURAKOVIC dijulang pemain Selangor selepas menjuarai Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jurulatih dan pemain meluahkan rasa sedih terhadap pembatalan Piala Malaysia 2020 namun akur dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak rayuan bagi meneruskan kejohanan itu pada Rabu lalu.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui sedikit terkejut dengan keputusan itu tetapi dalam masa sama memahami kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dihentikan.

''Piala Malaysia kejohanan paling berprestiji di negara malah tertua di Asia Tenggara serta terlalu banyak sejarah yang kita boleh perkatakan. Seingat saya Piala Malaysia kali terakhir dihentikan pada 1947 dulu dan apabila dibatalkan a tahun ini, rasanya memang sukar dipercayai serta diterima oleh semua warga bola sepak.

''Begitu juga dengan Perak, bukan mudah untuk melupakan Piala Malaysia musim ini selepas kami berjaya ke suku akhir tetapi kita semua perlu menerima keputusan itu.

''Apa pun kesihatan pemain serta pegawai perlu diutamakan dahulu dan kerajaan lebih tahu apa yang terjadi sebenarnya sehingga membuat keputusan ini. Maka kita semua perlu sama-sama patuh dan ikuti arahan dikeluarkan,'' katanya.

JAE Hyung (dua dari kiri) mengawasi panahan anak buahnya.
JAE Hyung (dua dari kiri) mengawasi panahan anak buahnya.

Sementara itu, pemain import Terengganu, Lee Tuck juga berkongsi perasaan sedih dan mengakui sudah meletakkan matlamat mahu mendapatkan satu trofi buat pasukannya pada musim ini.

Bagaimanapun, perkhabaran slot ke Piala AFC 2021 buat Terengganu FC sedikit sebanyak memberikan penawar buat Lee Tuck selepas tiga musim bersama skuad dari Pantai Timur itu di Liga Malaysia.

''Sebagai pemain, sudah tentu terkilan kerana kami melakukan persiapan cukup rapi tambahan saya rasa musim ini Terengganu FC mempunyai peluang untuk memenangi trofi Piala Malaysia.

''Saya yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia kerana tidak menjangka situasi ini berlaku tetapi kita semua tiada pilihan untuk menerima keputusan dikeluarkan.

''Mengenai aksi di Piala AFC pada musim depan, saya memang berbangga kerana setelah lama bersama pasukan, perkara ini menunjukkan perkembangan semakin meningkat buat Terengganu.

''Diharapkan kontrak saya bersama pasukan dapat disambung dan bersama pemain lain, kami harap dapat tunjukkan kemampuan Terengganu di pentas lebih tinggi,'' katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof juga seakan tidak percaya dengan pembatalan TM Piala Malaysia selepas pasukannya sudah memberikan fokus terhadap pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan suku akhir.

Selepas tiada lagi sebarang aksi bola sepak pada musim ini, Nidzam cuma mengharapkan segala-galanya akan kembali berjalan seperti biasa pada 2021 agar pertumbuhan liga tempatan tidak terbantut.

''Sejak saya menjadi jurulatih pada 2005, saya rasa ini pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi. Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton,'' katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 3:45 PM