MOMOTA umum akan bersara selepas Piala Thomas. FOTO AFP
MOMOTA umum akan bersara selepas Piala Thomas. FOTO AFP
Reuters

Tokyo: Juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota berkata, dia akan bersara daripada badminton, selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Paris.

Momota memenangi kejohanan dunia pada 2018 dan 2019 tetapi bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik selepas cedera dalam kemalangan maut di Malaysia pada awal 2020 apabila van yang dinaikinya merempuh sebuah trak.

Momota mengalami masalah penglihatan dan memerlukan pembedahan untuk membaiki soket mata yang retak selepas kemalangan itu, yang menyebabkan pemandu van berkenaan maut.

Pemain berusia 29 tahun itu menduduki ranking ke-52 dunia dan ketujuh terbaik Jepun.

Hanya dua pemain terbaik dari satu negara boleh layak ke temasya berkenaan.

"Saya sedar saya tidak boleh kembali ke tahap di mana saya mensasarkan untuk menjadi pemain nombor satu dunia sekali lagi. Saya mempunyai kerjaya yang sangat memuaskan bermain untuk pasukan kebangsaan," kata Momota kepada pemberita.

Momota membuat penampilan sulung Olimpik di Tokyo, di mana dia tersingkir awal.

Dia terlepas untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio pada 2016 selepas digantung kerana berjudi.

Pertandingan terakhir Momota ialah Piala Thomas & Uber pada 27 April hingga 5 Mei di Chengdu, China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:40 PM