PEMAIN badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota tersingkir di pusingan pertama Tokyo 2020, hari ini, sehari selepas bintang tenis, Naomi Osaka turut tewas.

Pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Heo Kwang-hee menewaskan Momota 21-15, 21-19, menamatkan impian pemain pilihan untuk merangkul pingat emas itu.

Momota tampil buat kali pertama ke Sukan Olimpik selepas digantung kerana berjudi di kasino tak berlesen beberapa bulan sebelum Rio 2016.

Dia hampir bersara tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kecederaan berpanjangan.

Momota mencipta rekod menang 11 gelaran pada 2019, tewas hanya enam daripada 73 perlawanan pada tahun itu.

Tetapi, impiannya merangkul pingat emas Sukan Olimpik di tanah air sendiri berkecai di awal apabila Heo membenamnya dalam masa 52 minit.

Momota pada mulanya melepaskan senyuman apabila beberapa pukulannya tidak menjadi, tetapi kemudian dilihat tertekan apabila menyedari dirinya dalam bahaya.

Malah, dia menentukan nasib sendiri apabila pukulannya tersangkut di jaring untuk menamatkan permainan.

Penyingkiran Momota itu meneruskan episod suram buat atlet berprofil tinggi Jepun seperti Naomi dan gimnas, Kohei Uchimura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 9:26 PM