MOMOTA mahu melatih dua individu bertuah. FOTO NSTP
MOMOTA mahu melatih dua individu bertuah. FOTO NSTP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Kento Momota mencetuskan ribuan maklum balas daripada peminat badminton selepas dia menawarkan peluang untuk berlatih di bawah bimbingannya.

"Siapa yang mahu bermain badminton bersama saya?" tulis Momota di akaun Twitter miliknya.

"Saya juga mahu melatih orang ramai bermain badminton. Saya mahu anda tahu bahawa sangat seronok bermain badminton," kata bintang badminton dunia itu yang mengalami kecederaan selepas terbabit dengan kemalangan di Malaysia, Februari lalu.

Momota yang menjadi sandaran utama untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada tahun depan, menghabiskan masanya dengan melalui tempoh pemulihan selepas kemalangan itu.

Insiden itu meragut nyawa pemandu manakala dia pula mengalami kecederaan di bahagian mata.

Momota hanya membuka tawaran menjadi jurulatih kepada dua individu bertuah, tetapi mendapat ribuan maklum balas daripada ibu bapa sehinggalah bintang sukan dunia.

Perenang Olimpik, Daiya Seto yang memenangi pingat gangsa di Rio empat tahun lalu membalas dengan berkata: "Saya mahu melakukannya!"

Bagaimanapun Momota membalas: "Saya tidak mahukan anda kerana anda mungkin akan menjadi terlalu pandai."

Bekas pemain bola sepak antarabangsa Jepun, Hiroshi Kiyotake berminat dengan tawaran itu yang mendorong Momota membalas reaksinya itu.

"Mari lakukannya secara peribadi. Ajar saya bagaimana untuk menimbang bola," kata Momota.

Momota berkata, dia akan menunggu hingga September sebelum memutuskan dua individu bertuah yang berpeluang berlatih di bawah bimbingannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 10:07 PM