ZII Jia sandaran utama negara dalam acara perseorangan lelaki di Piala Thomas.
ZII Jia sandaran utama negara dalam acara perseorangan lelaki di Piala Thomas.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Piala Thomas adalah acara berpasukan, bermakna semuanya perlu dilakukan bersama-sama."

Demikian tegas legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj yang memberi peringatan betapa sepatutnya berbangga seseorang pemain itu mewakili negara dalam saingan Piala Thomas.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, James yang membantu Malaysia mara ke final Piala Thomas 1976 berkata, asas kepada saingan berpasukan itu sendiri sejak ia diperkenalkan untuk membentuk pasukan yang mantap bagi berjuang mewakili sesebuah negara.

"Apabila anda terpilih mewakili negara, anda perlu bersaing antara satu sama lain di dalam pasukan itu. Sebab itulah makna kejohanan ini. Bagi saya, Piala Thomas kejohanan paling ulung untuk seseorang pemain badminton. Bukan bermakna kejohanan lain tidak penting, tetapi prestij Piala Thomas itu sangat berbeza.

"Apabila anda mewakili negara di Piala Thomas, bermakna anda memberitahu semua pihak betapa bangganya anda mewakili Malaysia. Jadi, sepatutnya segala perkara dilakukan bersama, tidak kira ketika waktu gembira atau bersedih.

"Sebagai pemain, anda perlu ada semangat patriotik, bermain bermati-matian demi lencana di dada. Sama seperti askar yang pergi berperang untuk mempertahankan negara," katanya ketika dihubungi.

Skuad negara menjalani latihan pusat bermula hari ini selama seminggu di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persiapan untuk saingan yang berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia pula sudah memulakan latihan secara sendiri sejak Isnin lalu iaitu sebaik sahaja pulang dari Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Selain Zii Jia, pemain perseorangan lelaki negara turut dibarisi Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, beregu negara yang kini berada di ranking kelima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran utama sambil dibantu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:33 PM