JUN Hao yakin pamer aksi terbaik di Chengdu.
JUN Hao yakin pamer aksi terbaik di Chengdu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika tumpuan terarah kepada pembabitan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang masih belum pasti beraksi di Piala Thomas, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao tetap berada dalam keadaan tenang walaupun berkemungkinan bakal menggalas tanggungjawab besar.

Tanpa Zii Jia dan Tze Yong, aksi pemain perseorangan lelaki negara, sudah pasti bakal diketuai Leong Jun Hao di kejohanan yang bakal berlangsung hujung bulan ini di Chengdu, China.

Bagaimanapun, buat masa sekarang pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui tumpuannya hanya terarah kepada dirinya sendiri tanpa memikirkan sama ada dua lagi rakan sepasukannya bakal menyertai pasukan atau tidak.

"Saya hanya fokus kepada diri saya sendiri, pada situasi sekarang saya harus memberikan persembahan terbaik," katanya yang menjadi perseorangan ketiga ketika di Piala Thomas Bangkok 2022.

Ujarnya, pengalaman yang diraih ketika di Bangkok dua tahun lalu akan digunakan sebaik mungkin walaupun ketika itu skuad negara dikejutkan India apabila tumbang 2-3 di suku akhir.

"Memang pengalaman yang saya peroleh dua tahun lalu akan digunakan untuk membantu pasukan. Paling penting ialah saya harus melalukan yang terbaik di ketika itu (dalam gelanggang di Piala Thomas).

"Sekarang adalah masa terbaik untuk melakukan persiapan kerana kami mempunyai tiga minggu lagi sebelum menyertai Piala Thomas. Apa pun saya perlu bersedia jika ditakdirkan menjadi perseorangan utama," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Situasi sekarang ini menimbulkan persoalan keadaan terkini Tze Yong yang masih belum pulih daripada kecederaan selain Zii Jia kini sibuk dengan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tze Yong, 23, mengalami kecederaan belakang pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lalu, sekali lagi mengalami kesakitan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Februari sehingga menjalani pembedahan, sekali gus memaksanya akur terlepas tiket ke Paris 2024.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia berada satu kumpulan bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 2:07 PM