CHONG Wei akan mengadakan perbincangan dengan Rexy. FOTO BERNAMA
CHONG Wei akan mengadakan perbincangan dengan Rexy. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain badminton negara diingatkan untuk keluar daripada zon selesa andai mahu mencipta kejayaan di Sukan Olimpik Paris tatkala berbaki tujuh bulan sebelum temasya itu berlangsung.

Menurut legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain negara ketika ini disifatkan terlalu selesa dengan segala kemudahan yang diberikan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga membuatkan mereka mungkin lupa dengan tanggungjawab sebenar.

"Apa yang saya boleh katakan, pemain kita sekarang sangat selesa duduk dalam persatuan. Ini sesuatu yang kita perlu ubah, tahun ini adalah tahun yang sangat penting kerana ada Sukan Olimpik," katanya.

Chong Wei yang juga Pengurus Badminton Program Road to Gold (RTG) akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky bagi membincangkan mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan pemain benar-benar bersedia menghadapi temasya di Paris.

"Jadi, saya akan bertemu dengan Rexy bagi membincangkan mengenai perkara ini. Saya mahu dengar pandangan daripada Rexy dan jurulatih dahulu kerana mereka yang bersama pemain setiap hari, selepas itu saya akan bagi pandangan atau idea saya pula.

"Ini semua adalah bagi membantu pemain. Kita perlu buat sesuatu yang drastik kerana masa sudah tidak banyak lagi sebelum Sukan Olimpik bermula. Pemain kena sedar dengan tanggungjawab dan bangkit semula," katanya.

Pencapaian terbaik daripada kem skuad kebangsaan di Terbuka Malaysia kali ini adalah menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mara sehingga suku akhir sebelum tewas di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Ini adalah edisi kedua berturut-turut tiada wakil negara yang berjaya mara ke separuh akhir selepas turut mengalami nasib sama pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 8:28 PM