NORZA (kiri) meletakkan kepercayaan kepada Chong Wei untuk membantu menjelmakan emas sulung Olimpik buat negara. FOTO FB BAM
NORZA (kiri) meletakkan kepercayaan kepada Chong Wei untuk membantu menjelmakan emas sulung Olimpik buat negara. FOTO FB BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal dilantik sebagai pengurus pasukan Road to Gold (RTG) bagi sukan badminton.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei adalah seorang legenda dan pemain terhebat dunia, menjadikannya ikon paling sesuai menjadi pengurus RTG bagi sukan badminton.

"Tiada orang lebih baik untuk menjadi pengurus pasukan kerana kami berusaha untuk mencapai impian emas di Paris," kata Norza.

Chong Wei, 41, memenangi tiga pingat perak di tiga temasya Olimpik berbeza iaitu Olimpik Beijing, London dan Rio, menyatakan kesediaannya membimbing prospek pingat emas di Paris 2024.

"Walaupun sudah sebahagian daripada Jawatankuasa RTG, namun pelantikan sebagai pengurus pasukan badminton RTG ini meningkatkan lagi tumpuan kepada badminton dan peranan yang lebih dekat dari segi membantu persiapan pemain.

"Ini adalah tanggungjawab besar dan jika dilantik saya sedia mengambilnya dan memainkan peranan untuk membantu Malaysia.

"Memenangi pingat emas Olimpik pertama menjadi agenda kebangsaan. Ia adalah harapan rakyat Malaysia," kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 6:46 PM