LEE Chong Wei. FOTO arkib NSTP
LEE Chong Wei. FOTO arkib NSTP
Ferzalfie Fauzi


“TAK keluar dan akan bersara sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).” Itu luahan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei walaupun beberapa tonggak senior seperti Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan terbaru, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meninggalkan badan induk itu.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, buat masa ini dia amat selesa untuk bernaung di bawah BAM dan baginya ia lebih kepada membalas budi.

“Tidak ada BAM, tidak ada Lee Chong Wei. Sudah 19 tahun saya berada di sini (BAM) dan ia hampir separuh kehidupan saya. Setakat ini saya OK di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chong Wei yang akan memulakan latihan di BAM Isnin depan selepas pemulihan kanser hidung, mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas rakan sepelatihnya.

“Paling penting prestasi mereka harus terus cemerlang. Keputusan untuk keluar BAM mungkin bagi mereka jalan terbaik dan kurang tekanan.

“Saya tak mampu untuk membuat keputusan seperti itu. Saya bukannya muda lagi dan mempunyai perancangan untuk masa depan mungkin paling maksimum hingga Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, V Shem-Wee Kiong keluar BAM dan menjadi pemain profesional, Chong Wei mengakui perkara itu amat sensitif.

“Bagi saya semua kena faham kehendak mereka. Isu ini memang sensitif dan saya tak kisah mereka meninggalkan BAM paling penting mereka masih lagi mewakili negara.

“Mereka harus buktikan kepada diri sendiri dan meningkatkan prestasi. Paling penting mereka juga bermain dengan Jalur Gemilang di dada. Semua ini bergantung kepada pemain itu sendiri,” kata Chong Wei.

Semalam, BAM mengesahkan mereka menerima dan merestui keputusan V Shem-Wee Kiong meninggalkan skuad kebangsaan dan bergerak secara profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 5:54 PM