AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat sekurang-kurangnya ada satu wakil pasangan beregu campuran negara di pentas separuh akhir Kejohanan Dunia tidak kesampaian apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas di suku akhir sebentar tadi.

Kian Meng-Pei Jing masih belum berjaya menghapuskan badi kekalahan selepas kali ketujuh tumpas di tangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 9-21, 9-21 dalam tempoh 28 minit.

Si Wei-Ya Qiong yang berada di ranking kedua dunia turun ke gelanggang tanpa tekanan untuk menewaskan Kian Meng-Pei Jing dalam pertemuan ketujuh mereka.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon tewas di tangan pasangan ranking ketiga dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 17-21, 13-21 dalam tempoh 40 minit.

Kian Meng-Pei Jing dan Soon Huat-Shevon selepas ini dijadual menyertai Kejohanan Terbuka Jepun yang bakal berlangsung di Osaka dari 30 Ogos hingga 4 September ini.

Ini bermakna hanya tinggal beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih membawa cabaran negara selepas mereka menewaskan beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae 21-18, 21-16 pagi tadi dan dijadual membuat perhitungan dengan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 6:51 PM