BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin (kiri) dan Goh Sze Fei ketika beraksi di separuh akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu. FOTO ASWADI ALIAS.
BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin (kiri) dan Goh Sze Fei ketika beraksi di separuh akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu. FOTO ASWADI ALIAS.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berharap Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menggunakan kepandaian dan kebijaksanaan dalam membentuk pasangan negara menjadi lebih mantap serta mampu bersaing dengan gandingan handalan dunia.

Menurutnya, buat masa ini, dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani adalah yang terbaik, cuma sedikit terjejas kerana tidak mempunyai pemain lebih senior berlatih bersama mereka di BAM.

"Kita mempunyai dua gandingan yang menyerlah, iaitu Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin, mereka memang bertaraf dunia dan ia dapat dilihat ketika beraksi di Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

"Cuma mereka sering dinafikan dengan lawan lebih baik, tapi saya rasa masih mempunyai masa untuk membaik pulih persembahan mereka," katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 itu berkata, kedua-dua pasangan negara itu sentiasa tumpas kepada gandingan terbaik dunia, namun tidak jauh ketinggalan dari segi persembahan.

"Mungkin dari segi strategi taktikal ada kekurangan, akhir sekali berbalik kepada kekuatan mental.

"Mereka tumpas kepada pasangan lebih baik dan beraksi lebih lama dari mereka. Saya percaya satu hari nanti dengan mengambil sedikit masa lagi mereka mampu berjaya.

"Salah satu sebab saya lihat kekurangan mereka adalah kekurangan rakan sepelatih lebih senior. Kebanyakan pemain senior berada di luar dengan bergerak secara profesional. Mereka dilihat masih kurang mata, berbeza jika hendak dibandingkan pada zaman saya yang masih mempunyai pemain senior ketika saya berada dalam skuad kebangsaan.

"Ketika saya senior pula, pemain seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Datuk Cheah Soon Kit berada di bawah kami. Pemain sekarang hanya berlatih sesama sendiri tanpa pemain senior. Apapun saya percaya jurulatih Rexy dan pembantunya mampu membimbing pemain kita sehingga berjaya," katanya yang membantu skuad badminton negara meraih Piala Thomas pada 1992.

Berdasarkan ranking semasa, Aaron-Wooi Yik kekal gandingan nombor satu negara dengan menduduki tempat keenam terbaik dunia, diikuti pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ke-10) dan Sze Fei-Izzuddin menghuni tempat ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 5:32 PM