REAKSI Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika tewas kepada beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada Masters Malaysia. FOTO Fathil Asri
REAKSI Aaron (kanan) dan Wooi Yik ketika tewas kepada beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada Masters Malaysia. FOTO Fathil Asri
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyifatkan banyak kerja yang perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia kembali menjadi kuasa besar dalam acara beregu.

Melihat prestasi barisan pemain beregu negara terutama dalam acara beregu lelaki selepas tamatnya badminton Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia hanya satu Rexy mengakui bahawa dia cukup kecewa.

Tanpa berselindung mengakui dia tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juga Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Namun kekecewaan itu sedikit terubat dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh barisan beregu wanita negara melalui Anna Cheong-Teoh Mei Xing yang melakarkan beberapa kejutan yang tidak dijangka.

Rexy berkata, banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan oleh barisan kejurulatihan selain barisan pemain itu sendiri terutama Aaron-wooi Yik yang perlu berusaha memperbaiki mutu permainan mereka yang jauh daripada prestasi sebenar.

Ini kerana mereka ketika ini hanya berjaya mara hingga ke separuh akhir dengan tahap permainan masih lagi perlu dipertingkatkan.

"Aaron-Wooi Yik terlalu fikir banyak. Mereka terlalu fikir nak menang. Itu yang salah. Saya melihat cara pemikiran itu tak betul.

"Mereka tak patut fikir seperti itu. Mereka sepatutnya bermain seperti nothing to loose.

"Mereka bermain dengan emosi dan panik (Aaron-Wooi Yik). Melihat mereka lebih baik daripada lawan dan akhirnya itu memakan diri mereka sendiri.

"Secara keseluruhannya prestasi beregu lelaki negara Aaron Wooi Yik-Sze Fei-Izzuddin di luar standard permainan mereka sebenar. Mereka perlu tunjukkan yang lebih baik tapi tak buat.

"Satu dalam kelompok 5 terbaik dan satu lagi kelompok 15 terbaik. Memang saya sangat kecewa.

Justeru beberapa pandangan juga mungkin akan diambil kira oleh Rexy termasuklah pandangan daripada legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek bahawa barisan beregu lelaki ini memerlukan rakan sepelatih senior untuk membantu meningkatkan prestasi mereka.

Terdahulu barisan pemain beregu negara mengulangi skrip yang sama ketika Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters apabila tiada satu pun wakil negara beraksi di pentas akhir.

Pencapaian yang boleh dibanggakan hanyalah mara ke separuh akhir Masters Malaysia menerusi Aaron-Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah dalam acara beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 4:05 PM