PEMAIN perseorangan profesional negara. Lee Zii Jia.
PEMAIN perseorangan profesional negara. Lee Zii Jia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia bersama kem badminton negara di Sukan Asia Hangzhou mempunyai aura tersendiri sekali gus boleh membantu memperoleh keputusan positif dalam acara berpasukan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, pemain terbabit mempunyai kredibiliti dan kemampuan ketika beraksi dalam kejohanan berpasukan.

Katanya, biarpun Ng Tze Yong kini tampak lebih menyerlah dalam kejohanan individu namun pengalaman dimiliki Zii Jia mampu menjadi menjadi aset penting buat skuad negara.

"Belum ada sebarang perbincangan siapa akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama atau apa. Namun, untuk acara berpasukan sudah tentu kita memerlukan seorang pemain yang berpengalaman seperti Zii Jia.

"Prestasi Zii Jia juga bagus dalam kejohanan berpasukan sebelum ini. Cuma, untuk kejohanan individu dia masih lagi mencari rentak bersama jurulatihnya Wong Tat Meng. Saya harap dia akan lebih baik di Terbuka Hong Kong (bermula Selasa ini) dan di Sukan Asia nanti.

"Bagi acara berpasukan, kita tidak boleh cakap siapa hari ini bermain baik atau apa. Kita perlukan pemain yang mempunyai kekuatan mental dan Zii Jia sudah buktikan banyak kali dalam kejohanan berpasukan," katanya yang turut memainkan peranan menguruskan pemain perseorangan senior kebangsaan.

Mengikut rekod, Zii Jia beraksi cemerlang ketika saingan Piala Sudirman di Suzhou, China pada Mei lalu apabila menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Di peringkat suku akhir dia meraih mata tanpa bermandi peluh apabila lawannya, Viktor Axelsen dari Denmark menarik diri akibat kecederaan dan dia turut menyumbang satu-satunya mata dengan menewaskan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin ketika Malaysia tewas 1-3 di separuh akhir.

Selain Zii Jia dan Tze Yong, Malaysia turut menyenaraikan dua lagi pemain perseorangan lelaki untuk acara berpasukan iaitu Leong Jun Hao dan Cheam June Wei.

Tugas dalam acara beregu pula akan digalas Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat-Chen Tang Jie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 2:47 PM