KIAN Meng (kanan) dan Pei Jeng terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
KIAN Meng (kanan) dan Pei Jeng terkandas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perjalanan pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen berakhir selepas mereka kalah di pusingan kedua, sebentar tadi.

Mereka yang kali ketujuh beraksi di kejohanan berkenaan terpaksa akur dengan persembahan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran selepas kalah 15-21, 18-21.

Aksi di Royal Arena itu menyaksikan Kian Meng-Pei Jing tumpas kepada pilihan ke-12 kejohanan dalam perlawanan selama 37 minit.

Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking ke-21 dunia sebelum ini mudah mengetepikan wakil Maldives, Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq 21-4, 21-6 di pusingan pertama.

Untuk rekod, pertemuan Kian Meng-Pei Jing dengan beregu dari Thailand itu adalah yang ketujuh dengan rekod kemenangan 3-2 memihak kepada Supak-Supissara.

Selepas ini, Kian Meng-Pei Jing akan menyertai Terbuka China, bulan depan dan bakal berentap dengan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di pusingan pertama.

Pasangan profesional itu berdepan saat sukar musim ini apabila sering terkandas di pusingan pertama atau kedua dalam setiap kejohanan disertai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 4:51 PM