Soon Huat dan Shevon ketika beraksi pada Masters Malaysia. FOTO Fail NSTP
Soon Huat dan Shevon ketika beraksi pada Masters Malaysia. FOTO Fail NSTP
Ferzalfie Fauzi


BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai sekali lagi mara ke separuh akhir dan berjaya mengalahkan musuh tradisi, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir Terbuka Hong Kong hari ini.

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon tumpas di set pertama sebelum bangkit untuk menumpaskan wakil Thailand itu 16-21, 23-21, 21-12 di Hong Kong Coliseum.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui, sekarang ini beliau hanya mahu anak buahnya itu kekal fokus dan cuba tamatkan satu demi satu perlawanan.

“Bagi perlawanan separuh akhir esok saya mahu mereka berikan aksi paling terbaik dan kekal fokus,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Minggu lalu Soon Huat-Shevon berjaya mara ke separuh akhir Terbuka China namun mereka tumpas kepada wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 16-21, 10-21.

Sementara itu, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir apabila mereka kalah 17-21, 21-19, 21-23 kepada wakil China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen.

Turut tersingkir gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila mereka kalah kepada Choi Solgyu-Seo Seung Jae 13-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 9:32 PM