BEREGU campuran negara,  Huat-Shevon Lai gagal raih kemenangan dalam aksi kedua. FOTO/NSTP
BEREGU campuran negara, Huat-Shevon Lai gagal raih kemenangan dalam aksi kedua. FOTO/NSTP
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Pintu hampir tertutup buat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan di Guangzhou, China, hari ini.

Soon Huat-Shevon yang kali pertama layak beraksi pada kejohanan akhir musim itu terpaksa akur tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 16-21, 12-21 dalam aksi kedua Kumpulan A.

Kekalahan itu sekali gus menyukarkan peluang buat Soon Huat-Shevon untuk mara ke separuh akhir kejohanan selepas turut mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan di tangan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, semalam.

Ketua beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, berkata dua kekalahan dialami anak didiknya itu membuktikan masih ada kelemahan perlu diperbaiki bagi memastikan mereka mampu mencabar pasangan utama dunia yang lain.

"Memang kita masih kurang lengkap terutama pemain wanita. Pemain wanita China dan Thailand ternyata lebih mantap berbanding pemain wanita kita.

"Jadi, mereka perlu terus bekerja keras bagi memperbaiki segala kelemahan," kata Cheh Chang.

Soon Huat-Shevon yang muncul juara Terbuka Singapura, Julai lalu akan berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith untuk aksi terakhir kumpulan esok.

Sementara itu, kemenangan menyaksikan Siwei-Yaqiong mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas turut melakar kemenangan dalam aksi sulung dengan menumbangkan Marcus-Lauren, semalam.

Pasangan yang masing-masing berusia 21 dan 24 tahun yang tampil dengan misi untuk memburu gelaran kelapan mereka tahun ini dalam saingan Jelajah Dunia BWF akan berdepan Dechapol-Sapsiree bagi aksi terakhir kumpulan esok.

Saingan Jelajah Dunia Akhir BWF menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.26 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 6:43 PM