Aksi beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei (kiri) ketika beraksi di kejohanan. FOTO NSTP
Aksi beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei (kiri) ketika beraksi di kejohanan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tahap keyakinan beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dijangka meningkat menjelang aksi Seluruh England bermula esok selepas muncul juara Terbuka Jerman, Ahad lalu.

Pengarah Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, tidak dinafikan kedua-dua pemain itu mengalami kepenatan selepas bergelar juara, namun beliau percaya mereka mampu mempersiapkan diri untuk menghadapi Seluruh England pula.

"Kalau kita lihat laluan mereka untuk muncul juara di Jerman agak sukar apabila setiap lawan yang ditemui juga kuat. Jadi perkara pertama yang saya perlu lihat adalah untuk pulihkan keadaan mereka.

"Saya faham apabila sudah bergelar juara, banyak kesan dialami mereka termasuklah kepenatan apabila mengharungi tempoh lima hari yang cukup sukar.

"Tapi dengan apa yang mereka capai di Jerman, saya rasa mereka akan merasai lonjakan semangat dan tahap kepercayaan diri yang tinggi.

"Ini kerana mereka sudah mencapai keinginan untuk muncul juara di mana sebelum ini ia belum tercapai meskipun mereka sebenarnya ada kemampuan," katanya.

Jelas Rexy lagi, beliau mahu beregu negara itu terus berfikiran positif dan mempamer aksi konsisten pada penampilan kali kedua mereka di Seluruh England.

Pasangan negara itu melakar sejarah peribadi apabila memenangi gelaran sulung dalam saingan Jelajah Badminton Dunia selepas menewaskan beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menerusi aksi tiga set 23-21, 16-21, 21-14 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Westenergie Sporthalle, Muelheim.

Izzuddin-Sze Fei yang menduduki ranking ke-17 dunia dijadualkan bertemu wakil China, He Ji Ting-Tan Qiang pada pusingan pertama Seluruh England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 4:24 PM