RASHID ketika ditemui selepas majlis penghargaan kepada pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
RASHID ketika ditemui selepas majlis penghargaan kepada pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dibarisi pemain muda, bekas pemain perseorangan kebangsaan negara, Datuk Rashid Sidek menyifatkan kekalahan skuad negara di Piala Thomas sebagai kekalahan yang bermaruah.

Rashid berkata, semua dapat lihat bagaimana barisan pemain negara yang terdiri daripada Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ng Tze Yong berjuang berhabis-habisan sebelum tewas 0-3 kepada Indonesia.

Kekalahan itu mampu menjadi penanda aras sebagai bekalan buat skuad negara untuk membawa pulang Piala Thomas ke Malaysia satu hari nanti.

"Kita lihat, rata-rata pemain kita muda dan kali pertama beraksi di Piala Thomas. Kita tak boleh letakkan harapan tinggi untuk mereka kalahkan Indonesia.

"Lihat saja dari segi ranking. Indonesia pemainnya berada dalam ranking satu angka, tapi pemain kita ada yang ranking dua angka malah tiga angka pun ada. Mereka (Indonesia) dah kalah di Piala Sudirman, pastinya mereka tak mahu kalah lagi di Piala Thomas.

"Tapi pemain kita tak mengalah, mereka beraksi dengan baik dan beri tentangan sengit. Itu boleh menjadi bekalan untuk buatkan mereka lebih bersedia selepas ini," katanya.

Di tanya sejauh mana kemampuan skuad negara untuk membawa pulang Piala Thomas, Rashid berkata ia tampak sukar tapi bukan satu yang mustahil sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat mempersiapkan barisan pemain muda ini.

"BAM sasarkan 2024, lihatlah bagaimana dalam tempoh tiga tahun ini.

"Di sinilah kita bergantung kepada pemain muda seperti Zii Jia, Tze Yong dan Leong Jun Hao. Mantapkan lagi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan bila dah betul-betul mantap, tak mustahil kita akan dapat balik Piala Thomas ini," katanya.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang Piala Thomas adalah pada 1992 ketika Malaysia menjadi tuan rumah selepas menundukkan musuh tradisi Indonesia 3-2.

Dalam perkembangan yang sama Rashid berkata, selepas tamatnya aksi di Piala Sudirman dan Piala Thomas, prestasi barisan pemain perseorangan khasnya sudah menampakkan peningkatan namun ada sedikit jurang yang perlu diperbaiki dalam acara beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 5:30 PM