REXY MAINAKY
REXY MAINAKY
Fabian Peter


BANGKOK: Bekas jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky tidak terkejut dengan barisan pemain negara di Piala Thomas 2018 yang dijadual membuka tirai di sini, Ahad ini.

Malah, ketua jurulatih Thailand itu mempertahankan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membariskan skuad lebih muda bagi menyahut cabaran edisi ini.

Selain daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, antara pemain muda yang disenaraikan ialah gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi yang berpasangan dengan Mohd Arif Latif.

Ketika ditanya sama ada Malaysia mampu membariskan senarai yang lebih baik, legenda Indonesia itu berkata: “Saya percaya jurulatih sudah melakukan kerja rumah. Ini boleh menjadi pasukan yang baik untuk Malaysia.

“Jika kamu mengingati, pasukan Indonesia membariskan pemain yang sama sejak 2014 (New Delhi). Kami menghantar pasukan muda, tetapi mereka membuat pelaburan bagi masa depan.

“Dua tahun selepas India, mereka berada di final. Mungkin Malaysia mengikuti perkara seperti itu, saya tidak tahu,” kata Rexy yang kontraknya bersama Thailand berakhir penghujung tahun ini.

Rexy berkata Malaysia mempunyai sejarah hebat di Piala Thomas justeru tiada sebab untuk peminat terlalu merasa bimbang.

“Berdasarkan sejarah, hanya ada beberapa negara yang benar-benar dapat mendominasi Piala Thomas. Mereka adalah China, Indonesia dan Malaysia. Sudah tentu pada dua edisi sebelum ini, kita dikejutkan dengan Jepun dan Denmark.

“Saya tidak fikir Malaysia perlu merasa terlalu bimbang. Pasukan muda ini mempunyai segala yang diperlukan. Saya berkata seperti ini kerana dari sudut menangani tekanan, mereka pasti cukup seimbang.

“Bagi kejohanan seperti Piala Thomas, ia tidak terlalu bergantung kepada kemahiran. Ia lebih kepada semangat berpasukan,” kata Rexy.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama penyandang juara, Denmark dan Algeria akan memulakan kempen Isnin ini menentang Russia. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 10:19 PM