HON Jian-Ee Wei ungguli acara beregu campuran. FOTO BAM
HON Jian-Ee Wei ungguli acara beregu campuran. FOTO BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejayaan manis dicatatkan pemain muda badminton Malaysia yang merangkul dua kejuaraan pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 di Dras Centre, Maribor semalam, menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican dalam satu hantaran menerusi laman sosialnya hari ini menyifatkan kejayaan beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei dan beregu wanita Low Yeen Yuan-Valeree Siow sebagai pencapaian besar buat mereka yang baru sahaja memulakan pengembaraan sebagai pemain senior pada tahun ini.

Beliau pada masa sama meminta mereka untuk terus berusaha bagi mengekalkan prestasi cemerlang yang dilakar di bumi Eropah itu.

YEEN Yuan dan Valeree juara beregu wanita. FOTO BAM
YEEN Yuan dan Valeree juara beregu wanita. FOTO BAM

"Tahniah kepada Choong Hon Jian dan Toh Ee Wei serta Low Yeen Yuan dan Valeree Siow yang telah menjuarai kategori masing-masing awal pagi tadi. Malaysia is proud of you!," katanya dalam hantaran yang dimuat naik pada laman Facebook, Twitter dan Instagram.

Pasangan muda berusia 20 tahun, Hon Jian-Ee Wei muncul juara beregu campuran selepas menewaskan pemain Indonesia, Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 32 minit.

Yeen Yuan-Valeree Siow, kedua-duanya berusia 19 tahun dan turun sebagai pasangan bukan pilihan, mengungguli kategori beregu wanita selepas mengejutkan pasangan pilihan ketiga Isabella Nielsen-Marie Steffensen dari Denmark 21-11, 21-15 untuk mengecap kejuaraan antarabangsa pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 5:37 PM