Kuala Lumpur: Dua beregu wanita negara meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India.
Anna Ching-Teoh Mei Xing tidak perlu bermandi peluh apabila lawan dari India, Ramya Venkatesh Chickmenhalli-Apeksha Nayak menarik diri.
Jejak langkah mereka turut diiringi oleh pasangan wanita negara Low Yeen Yuan-Valeree Siow yang menewaskan beregu profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, 17-21 21-15 21-19.
Mengikuti jejak langkah beregu wanita ke separuh akhir adalah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berjaya menewaskan pilihan kedua dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-13, 21-12 dalam tempoh 26 minit.
Begitupun usaha perseorangan lelaki Cheam June Wei untuk beraksi di separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas di tangan pemain Perancis, Lucas Claerbout 11-21, 19-21.
Dalam perkembangan yang sama, hasrat beregu campuran yang diletakkan sebagai pilih kedua kejohanan Chen Teng Jie-Peck Yen Wei untuk meraih gelaran sulung tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.
Ia seterusnya memberi kemenangan percuma kepada wakil tuan rumah T Hema Nagendra Babu-Srivedya Gurazada.