MISBUN kini menggalas tugas Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara. FOTO Owee Ah Chun
MISBUN kini menggalas tugas Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pendekatan dan pendedahan berani oleh Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara, Datuk Misbun Sidek apabila memilih barisan pemain muda beraksi di peringkat senior kini menampakkan hasil yang cukup membanggakan.

Empat gelaran dari dua kejohanan antarabangsa iaitu dua di Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 di Dras Centre, Maribor, minggu lalu dan dua di Terbuka Austria boleh dianggap satu kejayaan yang besar buat pemain muda yang rata-ratanya baru berusia 19 tahun.

Bagi bekas pemain negara, Datuk Razif Sidek, kejayaan beregu lelaki Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri khasnya sesuatu yang di luar jangkaan apabila berjaya menundukkan satu demi satu pemain pilihan.

Bagaimanapun, Razif mengakui perjalanan mereka masih jauh. Masih banyak yang perlu dibincangkan dan diperbaiki dalam usaha mengembangkan bakat masing-masing.

"Kita tak menjangka pun pemain beregu kita Arif-Haikal berjaya menang. Dengan saiz yang begitu kecil dan kurang berpengalaman mereka dapat atasi pihak lawan dengan skil mereka tersendiri. Itu satu yang boleh dibanggakan.

"Beregu campuran (Choong Hon Jian-Toh Ee Wei) kita juga hebat sudah merangkul tiga gelaran.

"Saya amat berbangga dengan kejayaan barisan pemain muda ini. Ia satu kejayaan di luar jangkaan. Beraksi di peringkat 'open' dan berjaya membawa pulang empat gelaran juara adalah satu yang cukup berharga.

"Malah ada di antara mereka beraksi lebih dari satu acara dan ia adalah satu pendekatan yang terbaik untuk melihat kecenderungan masing-masing," katanya.

Untuk terus kekalkan momentum, beliau melihat perlu ada perbincangan dengan lebih mendalam lagi bersama Misbun untuk mengupas apa yang perlu dipertingkatkan lagi selepas ini.

"Perlu ada post mortem untuk merancang perancangan seterusnya buat pemain muda ini. Mereka ini masih remaja dan perlukan lebih tunjuk ajar dari yang berpengalaman seperti Datuk Misbun," katanya.

Skuad badminton negara meraih dua gelaran di Slovenia menerusi beregu campuran Hong Jian-Ee Wei dan beregu wanita, Low Yeen Yuan-Valeree Siow.

Hong Jian-Ee Wei terus cemerlang merangkul gelaran ketiga tahun ini di Terbuka Austria bersama-sama Arif-Haikal dalam acara beregu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 8:47 PM