AARON akui bukan mudah beraksi di Istora Senaya. FOTO NSTP
AARON akui bukan mudah beraksi di Istora Senaya. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu melakukan persiapan rapi membabitkan fizikal dan mental dalam usaha meraih kemenangan menentang pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada aksi pusingan kedua Masters Indonesia di Stadum Istora Senayan, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasangan terbabit dilihat lebih memihak kepada beregu negara apabila menang semua tiga pertemuan ke atas lawan dari Indonesia itu.

Namun, rekod terbabit tidak boleh dijadikan sandaran untuk memenangi perlawanan terbabit kerana lawannya itu sudah pasti mendapat suntikan daripada penyokong tuan rumah.

Aaron berkata, pertembungan dengan pasangan Indonesia itu sudah tentu menjanjikan perlawanan sengit dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya.

"Saya akui bukan mudah untuk bermain di sini (Istora Senayan) tetapi kami akan cuba buat yang terbaik untuk mengatasi tekanan yang bakal kami hadapi nanti. Apa pun, kami akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi mengharapkan keputusan positif," katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat mara ke kelompok 16 terbaik selepas mengatasi rakan senegara, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng 21-11, 21-19 dalam aksi pusingan pertama, hari ini manakala Leo-Daniel mara menerusi kemenangan ke atas pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy 10-21, 21-13, 21-12, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berharap Aaron-Wooi Yik dapat mengekalkan momentum kemenangan mereka di pusingan pertama apabila bertemu Leo-Daniel yang dijangka sengit.

"Hari ini, Aaron-Wooi Yik bermain sangat baik dan positif. Hanya di set kedua ada sedikit tergesa-gesa disebabkan faktor angin yang menyukarkan mereka untuk membuat pukulan.

"Apa pun, saya harap mereka kekal fokus dan menjangkakan perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasangan apabila menentang Leo-Daniel," katanya.

Selain itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 21-19, 21-13 sekali gus akan membuat perhitungan dengan satu lagi beregu Hong Kong yang juga pilihan keenam, Tang Chung Man-Tse Ying Suet bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi empat lagi wakil negara iaitu perseorangan lelaki, Liew Daren; beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin; beregu wanita, Low Yee Yuan-Valeree Siow dan beregu campuran, Choong Hon Jian-Peck Yen Wei apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 5:21 PM