ARENAS akan menggantikan tempat Hafizh pada musim depan. FOTO Asyraf Hamzah
ARENAS akan menggantikan tempat Hafizh pada musim depan. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengesahan Albert Arenas sebagai pelumba pasukan Aspar Team musim depan menimbul persoalan mengenai kedudukan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedudukan Hafizh untuk kempen 2021 tampak tipis dengan hampir keseluruhan pasukan Moto2 sudah mengumumkan barisan pelumba mereka bagi saingan musim depan.

Bagaimanapun, bekas pelumba MotoGP negara itu kekal tenang dan hanya mahu memberikan tumpuan penuh terhadap lima baki pusingan bagi musim ini.

"Ya, pasukan sudah menandatangani dia (Arenas). Buat masa ini, saya tidak memikirkan lagi ke mana," kata Hafizh yang sekarang ini menduduki tangga ke-19 keseluruhan dengan mengumpul 18 mata.

Arena yang juga pendahulu kelas Moto3, dipilih oleh pasukan berkenaan ke kelas Moto2 musim depan bersama rakan senegaranya, Aron Canet selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan, meraih tiga kemenangan di Grand Prix (GP) Qatar, Sepanyol dan Austria tahun ini.

Hafizh yang beraksi di kelas MotoGP pada 2018 dan 2019 ketika ini akan memberi fokus kepada saingan GP Aragon, hujung minggu ini.

Sekiranya Hafizh tiada dalam saingan Moto2 musim depan, ia akan menyaksikan Malaysia hanya mempunyai seorang wakil di kelas Moto2 iaitu Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR SAG Team.

Kasma yang kali pertama beraksi dalam kelas pertengahan itu mengikat kontrak selama tiga tahun bersama TKKR yang berkolaborasi dengan pasukan berpangkalan di Sepanyol, SAG sehingga 2022.

Pencapaian terbaik Hafizh bagi musim ini adalah di GP Sepanyol, Julai lalu apabila menduduki tempat keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 2:53 PM