Hafizh menguji jenteranya. FOTO Aspar
Hafizh menguji jenteranya. FOTO Aspar
Saiful Affendy Sapran


"Ia bukanlah keputusan yang saya mahukan tetapi ini adalah pengalaman pertama saya menggunakan chasis Speed Up."

Demikian nada kecewa pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19 sekali gus gagal mengutip sebarang mata pada pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Qatar semalam.

Jelas pelumba yang beraksi bersama pasukan Aspar itu, dia mengharungi minggu yang sukar dan masih gagal untuk memahami jentera baharunya itu.

"Kami perlu memahami situasi semasa kerana pada sesi ujian bebas saya mampu berada di kedudukan 15 terbaik.

"Tapi apabila beraksi pada perlumbaan sebenar amat sukar untuk kami memperoleh pelarasan terbaik dan perasaan yang baik dengan jentera," katanya.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran El Pescao itu, pasukannya bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik pada sesi kelayakan termasuk memperbaiki bahagian suspensi.

"Pada perlumbaan sebenar jentera menampakkan peningkatan tetapi ia masih belum mencukupi. Kami akan mengumpul segala data untuk lebih memahami jentera," katanya.

Hafizh perlu meraih keputusan terbaik musim ini dalam usahanya untuk kembali semula ke MotoGP selepas dua musim penuh di kelas perdana itu sebelum ini.

Sementara itu, pelumba rookie negara di Moto2, Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan ONEXOX TKKR SAG gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di pusingan ketujuh.

Dalam saingan Moto3 pula, pelumba Petronas Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-26.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 8:15 PM