Aksi Hafizh Syahrin di GP Emilia-Romagno
Aksi Hafizh Syahrin di GP Emilia-Romagno
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur : Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui bahawa mereka perlu belajar dan mempertingkatkan diri selepas berakhirnya perlumbaan di Grand Prix (GP) Emilia-Romagno semalam.

Menurut pelumba Inde Aspar itu, dalam perlumbaan itu mereka terpaksa berdepan dengan kesukaran disebabkan hujan dan perlumbaan dihentikan sebanyak dua kali.

"Kami cuba menggunakan tayar lembut namun ia tidak berkesan dengan baik buat kami. Sekarang adalah masanya kami memikirkan mengenai percaturan di Barcelona pula," katanya.

Hafizh berjaya menamatkan perlumbaan di Misano Adriatico semalam dengan menduduki tempat ke-19, manakala rakan sepasukannya Aron Canet meraih tempat ke-12.

Kasma Daniel Kasmayudin. FOTO File NSTP
Kasma Daniel Kasmayudin. FOTO File NSTP

Sementara itu, pelumba muka baharu negara dalam kelas Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin sama sekali tidak berpatah semangat selepas tidak menamatkan perlumbaan GP Emilia Romagna yang berlangsung di Litar Misano.

Sebaliknya Kasma yang bersama pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, bertekad menebus kesilapan dilakukan pada perlumbaan yang diganggu isu cuaca itu sebelum dimenangi Enea Bastianini (Italtrans Racing Team) di GP Catalunya, hujung minggu ini.

"Terlebih dulu, saya mahu memohon maaf kepada pasukan kerana tidak menamatkan perlumbaan," kata Kasma.

"Saya berasa begitu yakin ketika menunggang motosikal dan cuba mengejar pelumba di depan tetapi saya melakukan kesilapan pada selekoh terakhir dan terjatuh.

GP Catalunya dijadual menjadi pusingan kesembilan bagi musim 2020 di Litar Barcelona-Catalunya hujung minggu ini sebelum saingan seterusnya beralih ke GP Perancis, 11 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:09 PM