FATI (kiri) meraikan jaringan pertama. FOTO AFP
FATI (kiri) meraikan jaringan pertama. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Ansu Fati muncul pemain berusia 17 tahun kedua yang menjaringkan 10 gol buat Barcelona dalam aksi La Liga selepas menewaskan Celta Vigo di tempat lawan, awal pagi tadi.

Fati membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi tolakan jarak dekat selepas mendapat hantaran Philippe Coutinho untuk jaringan ketiganya dalam dua perlawanan musim ini.

Skaud kendalian Ronald Koeman beraksi sepuluh pemain pada babak pertama apabila Clement Lenglet diperintah keluar padang selepas mendapat kad kuning kedua.

Kelincahan Lionel Messi pula sukar dikekang pertahanan lawan dan hantarannya ditampan ke gol sendiri oleh Lucas Olaza pada minit ke-51 manakala Sergi Roberto melengkapkan kemenangan pelawat pada masa kecederaan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.

Celta hampir merapatkan jurang ketika kedudukan 2-0 namun percubaan Miguel Baeza terkena palang.

Bojan pemain tunggal Barca yang meledak jaringan dua digit dalam aksi liga sebelum meraikan ulang tahun ke-18. Pemain Sepanyol, Fati meledak 10 gol dalam 26 aksi liga manakala Messi memerlukan 30 perlawanan untuk mencapai tahap itu.

Fati menjaringkan tiga daripada tujuh gol Barca dalam aksi liga tahun ini dengan dua jaringan ketika menewaskan Villarreal 4-0 pada aksi pembukaan.

Koeman jelas berpuas hati dengan kemenangan itu. "Kami melakukan tugas dengan baik. Saya sangat bangga, kami bekerja keras, penuh disiplin walaupun kurang pemain. Saya sangat-sangat gembira.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:01 AM