Enam pelumba yang dipilih menyertai program pembangunan bakat Toyota
Enam pelumba yang dipilih menyertai program pembangunan bakat Toyota
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai enam pelumba muda Malaysia dipilih untuk mengikuti Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing, kata UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini.

Mereka termasuk dua pelumba simulasi (perlumbaan maya) iaitu Mika Hakimi, 17 dan Naquib Azlan, 20, serta pelumba go-kart iaitu Amer Haris,17; Jwan Hii,18); Putera Adam,14 dan Troy Eimann,16, yang kesemuanya akan berpeluang bertanding dalam Siri Cabaran Toyota Vios musim ke-4.

Ketua Pegawai Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata pelumba-pelumba terbabit akan menjalani latihan intensif menerusi bimbingan jurulatih di dalam dan luar trek.

"Satu daripada pencapaian utama Cabaran Toyota Vios ialah keupayaannya untuk bukan sahaja menarik minat pelumba muda tetapi juga memberi mereka peluang yang sama untuk bersaing di samping pelumba yang lebih berpengalaman.

"Latihan akan diadakan di Gazoo Racing School bermula bulan ini dan mereka perlu memenuhi beberapa kriteria dan semua syarat pengeluaran lesen pertandingan kebangsaan (perlumbaan di litar) oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) sebelum diiktiraf sebagai pelumba," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd K Ravindran berkata, tiga musim lepas berjaya menarik penyertaan pelumba kali pertama, amatur dan juga profesional.

"Pada musim keempat ini, kami mahu membuka ruang untuk pelumba muda terbabit bersaing dalam perlumbaan peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 11:21 PM