Thiago Alcantara (kanan) dan David Alaba tonggak skuad Bayern. FOTO Agensi
Thiago Alcantara (kanan) dan David Alaba tonggak skuad Bayern. FOTO Agensi
AFP

BAYERN Munich berharap kejayaan Liga Juara-Juara mampu meyakinkan Thiago Alcantara dan David Alaba yang belum melanjutkan kontrak untuk terus kekal.

Bayern akan melayan kunjungan Chelsea di Allianz Arena awal pagi Ahad bagi perlawanan timbal balik peringkat 16 terakhir, Liga Juara-Juara dengan berbekal defisit selesa 3-0 selepas membenam The Blues di London pada Februari lalu apabila Serge Gnabry meledak dua gol dalam perlawanan menarik itu.

Bayern mengesahkan kejuaraan Bundesliga kelapan berturut-turut dan menjulang Piala Jerman sekali gus berada di landasan tepat meraih trebel apabila memenangi semua 11 perlawanan selepas musim bola sepak tertangguh kerana Covid-19.

Chelsea pula akan beraksi tanpa pemain sayap, Christian Pulisic yang cedera ketika mereka tewas kepada Arsenal pada final Piala FA selain Pedro yang menjalani pembedahan bahu selepas diusung keluar di Wembley.

Kapten The Blues, Cesar Azpilicueta juga dijangka terlepas aksi di Munich selepas kecederaan hamstring.

Ketika Chelsea bergelut dengan senarai kecederaan, Bayern pula berdepan situasi berbeza dengan pemainnya.

Alcantara yang dikaitkan dengan Liverpool serta Alaba, masing-masing berbaki setahun dalam kontrak, melengah-lengahkan keputusan untuk melanjutkan kontrak bersama gergasi Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 1:40 PM