THOMAS Tuchel. FOTO AP
THOMAS Tuchel. FOTO AP
AFP

Munich: Bayern Munich mengumumkan melantik bekas jurulatih Chelsea dan Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel sebagai jurulatih baharu mereka, awal pagi tadi, selepas memecat Julian Nagelsmann.

Nagelsmann, 35, membantu Bayern mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dan akan menentang juara Liga Perdana, Manchester City bulan depan.

Bagaimanapun Bayern gagal menguasai saingan Bundesliga setakat musim ini sekali gus mengambil keputusan menggantikan Nagelsmann dengan Tuchel, 49, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2021.

Bayern berkata Tuchel akan diberikan kontrak sehingga Jun 2025 dan akan mengendalikan sesi latihan buat kali pertama, Isnin ini.

Pengerusi Bayern, Oliver Kahn berkata: "Secara peribadi dan mewakili FC Bayern, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Julian dan barisan kejurulatihannya, semoga maju jaya.

Bayern menandatangani Nagelsmann untuk kontrak lima tahun bermula dua tahun lalu, tetapi kebimbangan terhadap kejuaraan Bundesliga memaksa kontrak itu ditamatkan.

Mereka kini di tangga kedua di belakang bekas kelab kendalian Tuchel, Borussia Dortmund.

Tuchel akan mengendalikan perlawanan pertamanya pada 1 April, iaitu apabila Bayern bertemu Dortmund, kelab yang dipimpin Tuchel dari 2015 sehingga 2017 sebelum beliau berhijrah ke PSG.

Walaupun Bayern menewaskan PSG pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, gergasi Jerman itu kemudiannya mengalami tamparan hebat apabila tewas 1-2 ketika menentang Bayer Leverkusen, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 8:52 AM