PENYOKONG Bayern menaikkan kain rentang mengutuk Hopp. FOTO AFP
PENYOKONG Bayern menaikkan kain rentang mengutuk Hopp. FOTO AFP
AFP

SELEPAS beraksi cemerlang dalam saingan Eropah dan Bundesliga minggu lalu, Bayern Munich akan memberi tumpuan kepada Piala Jerman esok menentang Schalke di suku akhir.

Bayern membuktikan bahawa mereka sebagai pencabar kejuaraan Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Chelsea minggu lalu, selain berjaya menumbangkan Hoffenheim 6-0 walaupun mereka kehilangan penyerang, Robert Lewandowski akibat kecederaan.

Philippe Countinho menjaringkan dua gol dan Thomas Mueller melakukan dua hantaran yang menghasilkan jaringan namun aksi berkenaan diganggu dengan kain rentang menyerang pelabur Hoffenheim, Dietmar Hopp.

Ia adalah antara kejadian terkini yang menimpa Hopp, iaitu individu yang kurang disenangi peminat bola sepak Jerman yang melanggar tradisi pemilikan pasukan dengan membuat pelaburan besar di kelab bertaraf kampung.

Bayern sudah mengenal pasti kumpulan yang menaikkan kain rentang berkenaan dan akan bekerjasama dengan polis Mannheim bagi menyelesaikan kes itu.

Pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge berkata, individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan berkenaan harus dikenakan hukuman dari Bayern Munich.

“Kami tidak mahu melihat kebencian ini datang dari FC Bayern. Kami mahu kembali fokus kepada perlawanan seperti biasa. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan membantu polis mengesan pesalah,” katanya.

Bayern sekarang ini adalah pasukan pilihan untuk mengatasi Schalke, tatkala lawan mereka itu mengalami penurunan prestasi selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir.

“Ia akan menjadi aksi sukar dan mereka sekarang ini dilihat semakin bagus. Bagaimanapun, kami akan berdepan cabaran ini.

“Kami bukan pasukan pilihan. Bagaimanapun, kadang-kadang tidak menjadi tumpuan akan membuahkan hasil dan anda tidak tahu apa akan berlaku,” kata pengendali Schalke, David Wagner.

Bayern tidak pernah tumpas dalam 20 perlawanan bertemu Schalke bagi semua kejohanan dan membelasah The Royal Blues 5-0 di Munich hujung Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 4:04 PM