Wong Choong Hann
Wong Choong Hann
Ferzalfie Fauzi


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann menyambut baik kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Robert Gambardella.

Menurutnya, beliau sedia bekerjasama dengan bekas Ketua Institut Sukan Singapura itu bagi memantapkan lagi skuad badminton negara.

"Sudah tentu kami bersedia untuk berkerja sama dengannya melihat kepada personaliti serta pengalaman yang dimilikinya. Ia mampu memberikan satu pencapaian yang baik buat badminton negara," katanya ketika ditemui di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu mengakui Gambardella mempunyai pengalaman luas dalam aspek sains sukan serta pengurusan.

"Buat masa sekarang ia masih lagi baru, selepas ini baru kita akan mendapat gambaran jelas dan bersedia untuk bekerjasama," kata Choong Hann.

Gambardella yang berasal dari Amerika Syarikat, ditawarkan kontrak selama dua tahun dan bakal memulakan tugasnya 1 Ogos ini.

Semalam Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Gambardella hadir dengan pakej yang berpatutan ketika semua industri termasuk sukan sedang berdepan kesulitan berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Choong Hann berkata, kejohanan tertutup antara pemain senior dan pelapis serta remaja adalah satu langkah terbaik untuk menguji kemampuan skuad negara apabila tiada kejohanan antarabangsa setakat ini.

"Ini adalah peluang terbaik buat pemain remaja mengukur serta mencabar pemain senior. Ia lebih kurang seperti kejohanan kebangsaan.

"Ia adalah platform buat pemain membuktikan kemampuan mereka tatkala kita mempunyai beberapa kejohanan besar seperti Piala Thomas dan Uber walaupun ia akan diadakan secara format individu mengikut bahagian masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:59 PM