WONG Choong Hann. FOTO Owee Ah Chun
WONG Choong Hann. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ada peningkatan namun masih ada kekurangan, itulah rumusan yang dibuat Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengenai keseluruhan prestasi pemain badminton negara ketika melalui kejohanan sepanjang kalendar 2021.

Menurutnya, peningkatan paling ketara adalah ketika perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya merangkul kejuaraan Seluruh England Mac lalu sebelum diikuti dengan gandingan Aaron-Soh Wooi Yik berjaya meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selepas Olimpik kita lihat masih ada lagi kekurangan dalam kalangan pemain terutama dari segi kekuatan mental dan tahap persembahan. Mereka seharusnya kekal fokus," katanya.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, barisan pemainnya yang gagal muncul juara di beberapa siri kejohanan jelajah adalah disebabkan masih lagi mempunyai kekurangan dari pelbagai aspek.

"Covid-19 sudah lama berlaku (menghantui pemain) jadi mereka harus menyesuaikan diri, tidak ada alasan lagi. Mereka perlu lebih tumpu kepada persiapan diri sendiri.

"Banyak nasihat sudah diberikan untuk mereka melakukan persiapan dengan sempurna dan kadangkala ia mengambil masa bagi menyedarkan mereka. Jadi saya harap selepas beberapa kejohanan lalu, ia dapat menjadi satu pengalaman dan pengajaran yang baik buat mereka," kata Choong Hann.

Ditanya adakah disebabkan jadual yang padat menyebabkan pemain gagal untuk menyerlah, beliau berkata, memang ada berlakunya keadaan kelam-kabut kerana pemain perlu menghadapi saingan secara berturut-turut.

"Ini bermakna tidak kira macam mana susah sekali pun situasi yang dihadapi, siapa yang lebih bersedia dia berhak untuk mencari kemenangan," katanya.

Sebelum ini, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM akan mencari formula bagi menguatkan lagi tahap kekuatan mental dan fizikal barisan pemain negara yang jelas masih ketinggalan berbanding kelompok utama dunia yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 4:15 PM