GAMBARDELLA dilantik sebagai CEO ABM. FOTO Agensi
GAMBARDELLA dilantik sebagai CEO ABM. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


GAJI yang ditawarkan kepada Robert Gambardella yang dilantik menjawat tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) pastinya bukan murah justeru adalah wajar untuk melihat apa yang mampu dilakukan oleh beliau dalam menaikkan nama ABM dan badminton Malaysia khasnya di mata luar.

Pasti ramai yang akan tertanya mengapa Gambardella yang dilantik menjadi CEO ABM ketika ramai lagi rakyat tempatan yang mampu menjalankan tugas yang sama.

Namun bekas pemain negara, Datuk James Selvaraj berkata, jangan terlalu cepat menilai dan sebaiknya adalah beri peluang kepada Gambardella untuk menjalankan tugas sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum memberi sebarang komen terhadap kemampuan beliau.

Kata James, sebagai seorang bekas pemain, beliau tidak pernah melihat Gambardella sebagai seorang pemain badminton, justeru mungkin pelantikan warga Amerika Syarikat (AS) itu oleh BAM bertujuan membawa pulangan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari segi pengurusan dan pelaburan.

"Saya berumur 70 tahun dan Robert berusia 62 tahun. Dia bukan seorang pemain badminton sebab jika dia main badminton pasti saya pernah bertemu dia dalam era saya.

"Jadi perlantikan beliau mungkin bertujuan untuk memberi pulangan kepada BAM dari segi pelaburan dengan membawa orang luar ke dalam ABM.

"ABM ini satu akademi yang lengkap dari semua aspek. Segala kemudahan yang dibekalkan adalah yang terbaik termasuk sains sukan. Jadi beri masa kepada Robert untuk kita lihat bagaimana cara dia bekerja," katanya.

James berkata, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria seorang pemimpin yang tegas dan pastinya beliau sudah menilai dari segala aspek sebelum melantik Gambardella.

Terdahulu Norza memaklumkan pemilihan Gambardella adalah berdasarkan pengetahuannya dalam industri sukan serta pengalaman luas selama tujuh tahun sebagai Ketua Institut Sukan Singapura dari 2009 sehingga 2016.

Gambardella adalah pelengkap kepada struktur ABM yang hadir dengan pakej yang berpatutan ketika semua industri termasuk sukan sedang berdepan kesulitan berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 7:00 PM