NAZZA sah tidak lagi bersama Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
NAZZA sah tidak lagi bersama Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PASUKAN Liga Super Melaka bersetuju melepaskan import kelima kelahiran Thailand, Narupon Wild Putsorn, 31, atau mesra dipanggil `Nazza' dalam skuad berkenaan musim ini.

Pengurus pasukan Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, Melaka tiada halangan melepaskan pemain pertahanan terbabit selepas ia diatas kerelaan pemain itu ketika aksi bakal bersambung 26 Ogos depan.

Katanya, sememangnya ketiadaan Nazza memberi kesan kepada jentera pasukan, namun pengurusan akur dengan permintaannya untuk tidak bersama skuad Hang Tuah kali ini.

Beliau berkata, ketiadaan pemain kental berkenaan bersama pasukan sudah dinyatakan kepada ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan barisan pembantunya.

"Apapun, kami mengalu-alukan sebarang perbincangan lanjut dengan Nazza jika dia masih berminat bersama pasukan.

"Namun, yang jelas dia sudah menarik diri, cuma belum ada hitam putih berkaitan perkara terbabit tetapi pada dasarnya kedua-dua pihak sudah bersetuju," katanya.

Sehubungan itu, latihan kini kian agresif di bentuk Zainal tanpa kelibat pemain berkenaan di menjelang aksi pertama liga kelak.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengikat Narupon Wild Putsorn bagi mengisi import kelima kuota Asean.

Narupon yang mesra dikenali Nazza yang beraksi di posisi pertahanan tengah dan tengah bertahan sebelum ini bermain di Thai League 1.

Nazza memulakan kariernya di Thailand bersama Bangkok United pada 2013 sebelum menyertai beberapa kelab terkemuka negara itu termasuk Songkhla United, BBCU, Buriram United, Suphanburi dan Nakhon Ratchasima.

Dia yang juga antara produk pembangunan liga kelab Wales, The New Saints (TNS) pernah membantu TNS menjuarai Welsh Premier League dan FAW Premier Cup pada musim 2006/2007.

Bagaimanapun, Akram enggan menjelaskan punca pemain terbabit menarik diri dari skuad Hang Tuah bagi mengharungi baki tujuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 9:12 PM