Datuk Mohd Saiful Mat Sapri. FOTO MUFC
Datuk Mohd Saiful Mat Sapri. FOTO MUFC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United Football Club (MUFC) Sdn Bhd bersama Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) berjaya menjelaskan tunggakan gaji dan elaun pemain skuad berkenaan lebih RM915,000.00 secara keseluruhan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata ianya juga membabitkan caruman tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diselesaikan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Beliau berkata, antara lain yang berjaya dilunaskan termasuk tunggakan gaji dan elaun penyerang import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain, Curran Lawrence Singh Ferns.

Menurutnya, tunggakan keseluruhan gaji bagi bekas pemain import dari Thailand, Narupon Wild Putsorn pula akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga M 2021.

"Pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain dan pegawai musim 2020 juga sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

"Pembayaran berjadual ini membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama pasukan 2021," katanya.

Beliau berkata, sementara tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:51 AM