BARISAN pemain Melaka akan menerima gaji Mac dan April minggu ini. FOTO FB Melaka United
BARISAN pemain Melaka akan menerima gaji Mac dan April minggu ini. FOTO FB Melaka United
Syazwan Msar


HAMPIR empat bulan menunggu akhirnya pemain Melaka mendapat perkhabaran gembira apabila tunggakan gaji membabitkan Mac dan April akan diselesaikan selewatnya minggu ini sekali gus menyuntik semangat mereka beraksi cemerlang sebaik saingan liga bermula nanti.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Mohd Ashiq Abd Samad, pembayaran berkenaan adalah inisiatif pengurusan yang mahu menyelesaikan tunggakan gaji secepat mungkin selepas mengambil alih tampuk kepimpinan.

Beliau berkata, bayaran tunggakan gaji selebihnya akan diselesaikan sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula dan perkara terbabit sudah dibincangkan bersama barisan kepimpinan MUSA.

"Kita mengakui terdapat tunggakan gaji yang belum diselesaikan membabitkan pemain Melaka namun tidak bermakna MUSA akan lepas atau membiarkan masalah terbabit tanpa diselesaikan segera.

"Sebelum ini kita berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 menyebabkan agak sukar untuk mendapatkan dana bagi menyelesaikan bayaran gaji.

"Bayaran gaji akan dilaksanakan secara berperingkat dengan bayaran pertama diselesaikan dalam masa minggu ini kepada pemain," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan dua tonggak mereka sudah angkat kaki selepas tidak menerima gaji sejak Mac lalu sekali gus membayangkan pasukan terbabit ketika ini menghadapi krisis yang semakin meruncing.

Menurut sumber dalaman pasukan terbabit, dua pemain terbabit iaitu Pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh Ferns dan import kelahiran Thailand, Narupon Wild Putsorn sudah meninggalkan pasukan itu sejak beberapa bulan lalu akibat tidak menerima gaji.

Beliau berkata, tindakan mereka itu mengejutkan pasukan sekali gus membayangkan mungkin ada lagi pemain yang akan mengikut jejak langkah sama.

Sementara itu, berkaitan dua pemain import yang dikatakan sudah angkat kaki meninggalkan pasukan, Ashiq berkata pihaknya masih lagi berbincang dengan Ferns dan Narupon bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 5:56 PM