NARUPHON buat aduan rasmi kepada Fifa.
NARUPHON buat aduan rasmi kepada Fifa.
Syazwan Msar


MELAKA boleh dikatakan dalam situasi 'bahaya' untuk dikenakan tindakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) apabila lebih ramai pemain mereka akan membuka mulut selepas tidak mendapat gaji sejak Mac lalu.

Malah, menurut sumber rapat Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) tindakan pemain import mereka dari Thailand, Naruphon Wild Putsorn membuat aduan kepada Fifa itu memberi jalan kepada rakannya untuk membawa kes terbabit ke peringkat lebih tinggi demi mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau berkata, perbincangan yang diadakan di antara Musa dan Naruphon sebelum ini gagal mendapatkan kata sepakat menyebabkan pemain import berkenaan nekad untuk membuat aduan rasmi kepada Fifa.

"Kemungkinan ada terma yang tidak dipersetujui Naruphon hingga perbincangan itu gagal menemui kata sepakat sekali gus tiada cara lain adalah membawa kes berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

"Perlu diingatkan perbincangan itu juga membabitkan pemain import lain dan tidak mustahil mereka akan turut mengikut jejak langkah Naruphon untuk mendapatkan hak masing-masing. "Pemain berkenaan adalah profesional sekali gus jika gagal mematuhi kontrak menyebabkan mereka terus mengambil tindakan supaya masalah sama tidak berulang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Naruphon membawa kes kepada Ffifa berkenaan tunggakan gaji yang belum diterimanya.

Malah, pemain pertahanan itu turut bertindak menamatkan kontraknya bersama kelab Liga Super itu setelah hanya menerima gaji penuh pada Februari, dan hanya sebahagian untuk Mac. Naruphon dipercayai menghantar surat untuk menamatkan kontrak bersama Melaka pada 24 Julai lalu, sebelum turut membuat laporan kepada Fifa.

Selain itu, Arena Metro melaporkan dua tonggak mereka sudah angkat kaki selepas tidak menerima gaji sejak Mac lalu sekali gus membayangkan pasukan terbabit ketika ini menghadapi krisis yang semakin meruncing.

Dua pemain terbabit iaitu pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh Ferns dan Narupon sudah meninggalkan pasukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:05 PM