WAN Ahmad Fayshal melawat persediaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 di SIC. FOTO Ihsan SIC
WAN Ahmad Fayshal melawat persediaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 di SIC. FOTO Ihsan SIC
Saiful Affendy Sapran


PENGANJURAN Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang membuka tirainya hari ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi penanda aras kepada penganjuran kejohanan lain yang bakal dianjurkan selepas ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, menerusi pemerhatiannya selepas melakukan lawatan hari ini, pihak penganjur nyata dapat mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk rekod, Kejuaraan Cub Prix adalah kejohanan pertama yang dianjurkan di negara ini selepas pasca pandemik Covid-19 yang bermula pertengahan Mac lalu.

"Saya lihat penganjur mengamalkan segala SOP asas seperti digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara). Ia termasuklah pelawat dan petugas di paddock.

"Jika kita melihat dalam konteks sukan di negara ini, sukan permotoran adalah yang paling lengkap dapat menjaga keselamatan dan kesihatan petugas serta pelumbanya.

"Saya yakin ia boleh menjadi penanda aras untuk semua sukan. Kita masih belum memulakan aksi sukan seperti bola sepak.

"MFL (Liga Bolasepak Malaysia) mungkin boleh melihat apa yang diamalkan di sini untuk penganjuran kelolaan mereka," katanya.

Mengulas lanjut kebenaran menganjurkan acara sukan lain terutamanya Liga Malaysia, Wan Ahmad Fayshal berkata segala-galanya sedang di dalam proses perbincangan ketika ini.

"Apa yang dilakukan di Kejuaraan Cub Prix ini akan menjadi penanda aras untuk ditambah baik dalam kertas cadangan kepada MKN berkenaan pembukaan Liga Malaysia.

"Saya yakin jika situasi bertambah baik, contohnya seperti New Zealand yang menyaksikan kejohanan ragbi mereka dihadiri penonton, maka kehadiran penonton juga mungkin akan dibenarkan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 2:45 PM