AKSI Pacquiao menentang Mayweather pada 2015. FOTO Agensi
AKSI Pacquiao menentang Mayweather pada 2015. FOTO Agensi
Agensi

MANNY Pacquiao percaya seteru ketatnya, Floyd Mayweather berasa cemburu dengan kejayaan superstar Filipina itu yang masih bergelar juara dunia pada usia 41 tahun.

Pacquiao masih aktif bertinju dengan Keith Thurman menjadi mangsa terbarunya pada musim panas lalu dan mengesahkan dirinya salah seorang jaguh terulung dunia dalam kategori welterweight.

Mayweather pula bersara pada 2017 selepas menewaskan Conor McGregor untuk rekod kemenangan 50-0 dan dia melabelkan Pacquiao 'orang tua' ketika ditanya mengenai bekas musuhnya itu.

Mayweather yang menewaskan Pacquiao pada 2015 menerusi kiraan mata memberitahu Fight Hype: "Agak sedih apabila anda berkata, 'Saya mahu menentang Manny Pacquiao. Tetapi Manny Pacquiao sekarang berusia 41 tahun. Tak perlu kejar dia.

"Anda orang muda mengejar sesama sendiri. Tetapi berhenti mengejar orang tua ini. Jika sampai peluang, rebut dan lakukan apa yang anda perlu lakukan. Biarkan Manny Pacquiao pilih dengan siapa dia mahu bertarung."

Dalam tindak balasnya, Pacquiao memberitahu Manila Times: "Dia mungkin cemburu kerana dia telah pun bersara, kami pula masih aktif dan mempunyai gelaran.

"Saya belum memikirkan untuk bersara. Paling utama sekarang ialah memikirkan masalah negara dan mencari jalan mengatasi pandemik."

Mayweather pula menegaskan dia tidak akan kembali ke gelanggang sebaliknya mahu menumpukan karier kejurulatihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 10:28 PM