PETINJU AS, Floyd Mayweather (kiri) menumbuk Mikuru Asakura pada pertarungan di Saitama Super Arena, hari ini. FOTO Reuters
PETINJU AS, Floyd Mayweather (kiri) menumbuk Mikuru Asakura pada pertarungan di Saitama Super Arena, hari ini. FOTO Reuters
AFP

Tokyo: Floyd Mayweather melakukan KO terhadap atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA), Mikuru Asakura di pusingan kedua di Jepun, hari ini, pada perlawanan pertunjukan kedua selepas legenda tinju itu kembali daripada persaraan.

Mayweather, 45, menjatuhkan lawannya dengan tumbukan tangan kanan pada ketika musuhnya bagi kategori welterweight, Manny Pacquiao menyaksikan pertarungan di Saitama itu di tepi gelanggang.

Mayweather yang bersara pada 2017 dengan rekod 50-0, selepas itu menolak kemungkinan akan bertarung dengan Pacquiao yang sudah bersara.

Mayweather tiba di Saitama Super Arena, di utara Tokyo, sejam sebelum perlawanan.

Menerusi televisyen, dia berehat di bilik persalinan bersama makanan segera yang dibungkus sebelum berjalan ke gelanggang.

Pada satu lagi hari pertarungan mudah bagi 'Money' Mayweather, loceng dibunyikan pada pusingan kedua selepas Asakura terjatuh ke atas kanvas dan tidak mampu bangun lagi.

"Ia adalah satu lagi aksi hebat, tinju ibarat bernafas bagi saya," kata Mayweather yang mengakui mahu menentang lebih ramai 'YouTubers dan pejuang MMA'.

Bagaimanapun, Pacquiao tidak berada dalam radarnya.

"Saya bersara kerana ada sebab," kata Mayweather.

"Saya berada di sini untuk bergembira dan menikmati kesenangan saya."

Asakura iaitu bintang MMA dan YouTuber popular di Jepun, memberikan lebih cabaran kepada Mayweather berbanding ketika kali terakhir petinju Amerika Syarikat (AS) itu tampil pada aksi pertunjukan di Jepun iaitu menentang jaguh 'kick boxing', Tenshin Nasukawa pada Disember 2018.

Mayweather dilaporkan semakin hampir bersetuju untuk perlawanan semula dengan bintang UFC, Conor McGregor pada 2023 selepas Mayweather menewaskan McGregor dalam pertarungan terakhir sebelum bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 8:11 PM