Los Angeles: Manny Pacquiao (gambar) dan pelatihnya Freddie Roach menghabiskan sebahagian besar masa mereka sejak dua bulan lalu untuk menyelesaikan persoalan paling besar dalam arena tinju moden.

Persoalannya ialah bagaimana mahu memastikan setiap tumbukan mengenai Floyd Mayweather Jr kerana peninju itu dianggap terlalu sempurna hingga ada yang menganggap mustahil bagi lawan menyentuh tubuhnya.

Pacquiao dan Roach akan memperlihatkan hasil kajian mereka di Las Vegas minggu ini apabila kedua-dua peninju bertemu dalam perlawanan yang dianggap paling mahal dalam sejarah tinju.

Begitupun, petanda positif strategi bakal diamalkan Pacquiao dalam usaha mengatasi kekebalan Mayweather sudah kelihatan ketika dia menjalani latihan fasa akhir di gimnasium milik Roach di Hollywood.

Pacquiao dilihat cukup perkasa sebaik menjejakkan kaki ke gelanggang dan dia melepaskan bertubi-tubi tumbukan padu ke arah perisai dipegang Roach.

Ketika Roach meminta supaya latihan diberhentikan seketika, Pacquiao tidak berhenti sebaliknya menumbuk angin di sekelilingnya dengan tenaga yang seolah-olah tidak pernah surut.

“Anda boleh menewaskan Mayweather jika beraksi lebih baik daripadanya dan tidak memberinya peluang melepaskan tumbukan yang paling disukainya,” kata Roach.

“Manny menjalani latihan yang cukup baik tetapi saya mahu dia mengatasi Mayweather dalam setiap pusingan. Saya rasa kami akan menang menerusi kiraan mata 12 pusingan. Kami mahu melepaskan tumbukan bertubi-tubi.

“Pacquiao bergantung kepada agresif, aktiviti serta jumlah tumbukan dilepaskan untuk menewaskan Mayweather,” katanya.

Juara dunia divisyen lapan itu menjalani latihan dengan giat untuk mengharungi perlawanan 12 pusingan itu.

“Saya tidak begitu menumpukan kepada kemenangan KO,” kata Pacquiao. “Kami tidak memikirkan soal itu sebaliknya hanya mahu melepaskan sebanyak mungkin tumbukan selain memastikan kami mengutip lebih banyak mata berbanding lawan pada setiap pusingan.” -AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:37 AM