PUTIN (kiri) berjanji akan memberikan rawatan terbaik untuk bapa Khabib. FOTO Agensi
PUTIN (kiri) berjanji akan memberikan rawatan terbaik untuk bapa Khabib. FOTO Agensi
Agensi

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin menghubungi Khabib Nurmagomedov dan berjanji akan memberikan rawatan terbaik untuk bapanya.

Abdulmanap dilaporkan mengalami serangan jantung akibat jangkitan Covid-19 di Dagestan.

Dia berada dalam keadaan koma dan selepas sedar, dia dilaporkan tidak mampu untuk bercakap.

Pengurus Khabib, Ali Abdelaziz mendedahkan Putin sudah menghubungi bintang UFC itu untuk menyampaikan kata-kata semangat agar bapa Khabib kembali pulih sepenuhnya.

Bercakap kepada MMA Fighting, Abdelaziz berkata: "Presiden bercakap dengannya beberapa kali. Ia sedikit sebanyak melegakan kami tetapi segala-galanya di atas ketentuan Allah dan kami cuba membantu sebaik yang mungkin.

Abdelaziz mengesahkan Putin berjanji Abdulmanap akan menerima rawatan terbaik.

"Dia berjanji bahawa bapa Khabib akan menerima rawatan terbaik.

"Mesej utama Khabib kepada seluruh dunia adalah untuk kekal tinggal di rumah bagi menangani penyebaran Covid-19," kata Abdelaziz.

Putin memberi bantuan kepada wilayah Dagestan yang digambarkan berdepan malapetaka besar dalam menangani wabak Covid-19.

Khabib menerima kejutan minggu lalu apabila bapanya dan pelatihnya terpaksa dikejarkan ke Hospital Moscow selepas mengalami komplikasi jantung akibat daripada virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 11:10 AM