KHABIB (kanan) baru kehilangan bapanya, Abdulmanap. FOTO Agensi
KHABIB (kanan) baru kehilangan bapanya, Abdulmanap. FOTO Agensi
Agensi

PRESIDEN UFC, Dana White berkata pihaknya akan memberi ruang secukupnya kepada Khabib Nurmagomedov selepas baharu kehilangan bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Abdulmanap menghembuskan nafas terakhir 3 Julai lalu kerana komplikasi akibat pandemik Covid-19 selepas sekian lama terlantar di sebuah hospital tentera di Moscow, Rusia.

"Ia berita yang menyedihkan. Kami bersimpati dengan Khabib dan merasai betapa dia begitu menyayangi dan amat rapat dengan bapanya.

"Kami akan memberikan masa dan ruang kepadanya untuk melakukan apa yang dirasakan perlu ketika ini. Kami membiarkannya bersendirian," katanya.

Selain hubungan sebagai bapa dan anak, Abdulmanap menjadi jurulatih dan mentor Khabib sepanjang kariernya.

Abdulmanap juga melahirkan ramai atlet gusti dan petarung berbakat dari Dagestan serta di wilayah Rusia yang lain.

Khabib dijangkakan akan bertemu Justin Gaethje selepas ini untuk pertembungan lightweight UFC. Gaethje memegang status sementara tali pinggang bagi kategori itu selepas menewaskan Tony Ferguson pada UFC 249, Mei lalu.

Khabib dan Gaethje dijangka bertemu pada September tetapi kini White berkata biarlah ruang diberikan kepada Khabib untuk memikirkan masa depannya.

"Kami tidak mahu mengganggu Khabib ketika ini kerana dia memerlukan masa untuk berfikir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 12:07 PM