KHABIB (kanan) baru kehilangan bapanya. FOTO Agensi
KHABIB (kanan) baru kehilangan bapanya. FOTO Agensi
Agensi

PENGURUS Khabib Nurmagomedov menjawab khabar angin mengenai persaraan petarung itu di saingan UFC sambil menegaskan anak buahnya sedang bersedih atas pemergian bapanya.

Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia pada usia 57 tahun awal bulan ini akibat komplikasi disebabkan wabak Covid-19.

Laporan di Rusia dipetik berkata juara lightweight itu sudah bersedia untuk bersara.

Bagaimanapun pengurus Khabib, Ali Abdelaziz menafikan sekeras-kerasnya berita itu di akaun Twitter miliknya apabila berkata petarung berusia 31 tahun itu mahu mendiamkan diri buat seketika.

"Terdapat beberapa laporan di Rusia menyatakan Khabib bersara. Ia sama sekali tidak benar.

"Kami masih bersedih atas kehilangan bapanya. Saya mahu setiap daripada anda menghormati situasi yang dihadapinya ketika ini dan jangan sebarkan berita tidak benar," katanya.

Dia kemudian menambah: "Apa juga yang dimahukan oleh Khabib, saya akan menyokongnya 100 peratus. Dia adalah saudara saya, ada perkara lebih penting di dalam kehidupan berbanding kariernya. Semoga Tuhan merahmati anda semua."

Abdulmanap juga adalah jurulatih Khabib yang membantu anaknya itu menjadi salah seorang bintang di UFC.

Khabib dijadualkan bertemu Justin Gaethje selepas ini namun Presiden UFC, Dana White menegaskan, pihaknya memberi ruang kepada Khabib untuk menghadapi tempoh sukar ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 2:36 PM