TELINGA Holyfield (kiri) pernah digigit Tyson pada perlawanan kontroversi 1997. FOTO Agensi
TELINGA Holyfield (kiri) pernah digigit Tyson pada perlawanan kontroversi 1997. FOTO Agensi
Agensi

EVANDER Holyfield mengesahkan dia sedang mengadakan perbincangan untuk keluar daripada persaraan bagi pertemuan kali ketiga bertemu Mike Tyson.

Kedua-dua legenda tinju itu sebelum ini memberi isyarat mereka akan kembali beraksi semula.

Difahamkan mereka berdua mahu beraksi dalam perlawanan pertunjukan amal di sebalik usia kedua-duanya yang sudah melebih 50 tahun.

Holyfield memegang rekod 2-0 ke atas Iron Mike, salah satunya ketika insiden Tyson menggigit telinganya pada 1997.

Ditanya berhubung perkara itu, Holyfield berkata: "Wakilnya sudah mengadakan perbincangan dengan wakil saya dan kami belum memperoleh persetujuan bersama.

"Jika ia menjadi kenyataan, maka tiada sebarang masalah lagi. Dia sedang melakukan sesuatu, begitu juga dengan saya," katanya.

Holyfield berkata ia seperti kebetulan apabila dia juga sedang memikirkan untuk beraksi pada perlawanan amal, sama seperti yang ingin dilakukan oleh Tyson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:59 PM