MOHD Futra (dua kiri) intai perejam import baharu musim ini. FOTO Ihsan Mohd Futra Abdul Ghani.
MOHD Futra (dua kiri) intai perejam import baharu musim ini. FOTO Ihsan Mohd Futra Abdul Ghani.
Malik Muhamad


PASUKAN sepak takraw Terengganu Turtles sedang mengintai perejam import baharu bagi menghadapi saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) yang bakal bermula 15 Ogos ini dengan Kelantan menjadi tuan rumah pada pusingan pertama.

Jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani, membayangkan akan merantai pemain import dari Thailand bagi memperkuatkan pasukan selepas skuadnya tergelincir ke Divisyen Satu musim ini.

Bekas perejam skuad kebangsaan itu menyatakan pemain import baharu itu bakal menggantikan pemain sebelum ini, Naringsak Jittisak dan Phutawan Sopa yang dilepaskan.

Bagaimanapum Futra berkata keputusan muktamad sama ada Terengganu Turtles bakal menggunakan khidmat pemain import baharu ataupun hanya menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya bergantung kepada faktor kewangan pasukan.

Selain itu beliau juga akan memantau secara serius status penganjuran STL sama ada akan diteruskan musim ini ataupun diubah format berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Kami barisan jurulatih sudah merancang untuk menggunakan khidmat pemain import baharu musim ini, tapi setakat ini belum ada kata putus daripada pihak pengurusan.

"Begitu juga mengenai pemain kebangsaan bertaraf Sukan Sea yang mahu sertai pasukan, jika ada yang berminat saya persilakan kerana STL menetapkan cuma seorang sahaja pemain negara yang boleh beraksi dalam satu-satu pasukan.

"Namun pada masa sama prestasi pemain muda tidak jauh ketinggalan dengan pemain senior dan itu memberi keyakinan kepada saya untuk menggunakan khidmat mereka jika gagal mendapatkan pemain import berkualiti," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukannya dalam mengharungi cabaran di saingan itu nanti, guru Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) itu menegaskan anak buahnya semakin matang.

"Bagaimanapun tidak dapat melakukan latihan bersama kerana tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin rentak pemain perlu diperkemaskan lagi sebaik tamat tempoh PKP kerana impian kami untuk kembali semula ke saingan Liga Premier musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:15 PM