MELO memilih Messi berbanding Ronaldo sebagai pemain paling terbaik. FOTO Reuters
MELO memilih Messi berbanding Ronaldo sebagai pemain paling terbaik. FOTO Reuters
Agensi

BEKAS pemain antarabangsa Brazil, Felipe Melo memilih Lionel Messi berbanding Cristiano Ronaldo berhubung siapa pemain lebih hebat dalam generasi mereka berdua.

Messi dan Ronaldo mendominasi kesemua 12 edisi terakhir anugerah Ballons d'Or dan mereka dilabel dua pemain terbaik dunia sepanjang zaman.

Persoalan mengenai siapa yang paling terbaik di antara ikon Barcelona dan penyerang Juventus itu sudah dibincangkan dalam dunia bola sepak sejak lebih sedekad tetapi Melo yakin Messi adalah pilihannya.

“Messi adalah pemain yang unik. Apabila barisan pemain Brazil bertemunya, kami sering menyatakan perlu kerap menendangnya. Jika kami gagal melakukannya, agak sukar untuk mengawalnya,” kata Melo.

“Kami bukan mahu patahkan kakinya tetapi hanya mahu mengganggu rentak permainannya. Ia adalah sebahagian daripada taktikal kerana Messi sangat luar biasa melebihi Ronaldo.

“Ronaldo boleh menjaringkan lima gol untuk anda tetapi Messi boleh juga menyumbang lima gol dan membantu rakan sepasukan menjaringkan gol. Dia seorang pemain yang lengkap,” katanya lagi.

Messi dan Ronaldo kedua-duanya sudah menjaringkan 1,422 gol untuk kelab dan pasukan kebangsaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 8:18 PM