MESSI (kanan) tidak tercalon dalam calon tiga Pemain Terbaik FIFA, manakala Ronaldo masih bergelut untuk mencari rentak bersama Juve. FOTO/AGENSI
MESSI (kanan) tidak tercalon dalam calon tiga Pemain Terbaik FIFA, manakala Ronaldo masih bergelut untuk mencari rentak bersama Juve. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Dominasi sedekad Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bagi anugerah individu bola sepak dunia mungkin berakhir apabila anugerah Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diumumkan, awal pagi ini.

Buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun, bintang Barcelona dan Argentina, Messi tidak tersenarai dan digantikan dengan pemain tengah Real Madrid dan Croatia, Luka Modric serta penyerang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah.

Ketiadaan Messi dalam senarai tiga calon akhir anugerah berkenaan berikutan penyingkiran awal Argentina di Piala Dunia 2018 selain kekalahan di pentas suku akhir Barcelona di Liga Juara-Juara.

Messi dan Ronaldo masing-masing berkongsi lima kemenangan tetapi bintang Portugal itu boleh mengatasi rekod berkenaan selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut bersama Real musim lalu sebelum menyertai Juventus pada Julai.

Buat kali keenam berturut-turut, Ronaldo adalah penjaring gol terbanyak di Liga Juara-Juara selepas menjaringkan 15 gol musim lalu selain turut meledak empat gol dalam kempen Piala Dunia termasuk ketika melakukan hatrik bertemu Sepanyol.

Begitupun, penyingkiran Portugal di peringkat 16 terakhir kepada Uruguay di Russia dan kegagalannya mencetak gol ketika aksi separuh akhir atau final Liga Juara-Juara membuka peluang luas buat bekas rakan sepasukannya, Modric.

Kapten Croatia itu menjadi inspirasi kepada kejayaan pasukannya mara ke final Piala Dunia dan memainkan peranan penting kejayaan Real di Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

“Saya berharap Luka akan dinobatkan Pemain Terbaik Dunia,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic. “Dia layak kerana dia adalah pemain terbaik di Piala Dunia Kelab dan pemain terbaik di Piala Dunia.

“Messi dan Ronaldo adalah pemain yang menakjubkan tetapi tahun ini adalah milik Luka.”

Salah menyertai senarai tiga terbaik buat pertama kali selepas meledak 44 gol pada musim pertamanya bersama Liverpool selain menjadi antara tonggak Reds mara ke final Liga Juara-Juara.

Begitupun, kecederaan bahu yang dihadapinya di pentas final Liga Juara-Juara menjadi antara punca kegagalan Liverpool di saingan elit Eropah itu sekali gus menyebabkan aksinya kekok ketika kempen Piala Dunia bersama Mesir.

Sekali pun dia menjaringkan gol dalam dua penampilannya di Russia, Mesir gagal untuk melepasi peringkat kumpulan selepas mengharungi tiga kekalahan.

Sementara itu, jurulatih juara dunia Perancis, Didier Deschamps dilihat sebagai calon pilihan untuk anugerah Jurulatih Terbaik Dunia mengatasi Dalic dan bekas pengurus Real,  Zinedine Zidane.

Sekali pun tewas dalam perebutan Pemain Terbaik, Messi dan Ronaldo boleh membawa satu lagi anugerah apabila kedua-duanya dicalonkan bagi anugerah gol terbaik Puskas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 12:20 PM