FITRI (dua kiri) bersama Dhaarma (kiri) dan Marhan (dua kanan) bersama Arul (kanan) pada sidang media menjelang perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
FITRI (dua kiri) bersama Dhaarma (kiri) dan Marhan (dua kanan) bersama Arul (kanan) pada sidang media menjelang perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


PERLAWANAN akhir bagi merebut piala TNB dan Piala Vivian May Soar 2020 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok pasti sengit dengan pasukan yang layak pasti akan memberi yang terbaik untuk bergelar juara.

“Final hanya akan berlangsung sekali jadi kami akan beri yang terbaik untuk julang piala,” itu kata ketua pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Marhan Mohd Jalil yang akan tampil di pentas akhir buat kali kelima.

Status UniKL sebagai pasukan terbaik dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga selain bergelar juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020 bagaimanapun bukan tiket mudah buat mereka menjulang piala kerana menanti mereka adalah juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT).

THT menerusi kapten mereka yang juga ketua pasukan kebangsaan, Mohd Fitri Saari menjanjikan satu perlawanan sengit dan tidak akan membiarkan lawan mudah menembusi kubu mereka.

Katanya, biar apapun yang berlaku dia tidak mahu pemain menyerah dengan mudah kerana soal menang kalah itu bukan faktor utama.

“Saya tahu untuk pertahankan kejuaraan itu susah. Tapi kami akan cuba sedaya upaya. Saya minta pemain fokus setiap minit dan jangan leka walaupun satu saat.

“Jika kalah pun saya mahu kami kalah dengan maruah kerana saya tahu perlawanan akhir akan berlangsung seimbang dan siapa yang bijak ambil peluang itu akan menang,” katanya.

UniKL yang bimbingan Arul Selvaraj kini memburu kejuaraan ‘treble’ dan peluang itu semakin cerah apabila mengesahkan tempat di pentas final saingan Piala TNB selepas menang 2-1 ke atas Maybank.

Manakala pasukan THT yang dilatih oleh Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 untuk sekali lagi layak ke pentas akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 9:36 PM